My Wedding Anniversary

Daisypath Anniversary tickers

Wednesday, July 29, 2009

KPI Sasaran Najib Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)

KPI sasaran Najib
Oleh ZULKIFLI JALIL dan HASHNAN ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 27 Julai - Bermula Januari 2010, semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada setiap 1 haribulan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Memperincikan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) di sini, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut menetapkan semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.

Pada masa sama, tegas beliau, ditetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan termasuk curi ragut dan samun tanpa senjata khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, sebanyak 20 peratus pada akhir 2010.
‘‘Saya tidak mahu rakyat sebagai klien utama (kerajaan) berada dalam keadaan teraba-raba dan samar akan apakah inisiatif, rancangan dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh kerajaan.

‘‘Sesungguhnya kita komited melakukan transformasi – bukan pembaharuan penambahbaikan - melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisis akhir, rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya,” katanya.

Najib menyatakan demikian dalam ucapan bertemakan ‘Merevolusi Pengurusan Perkhidmatan Kerajaan: Pencapaian Diutamakan’ di hadapan 3,000 pegawai kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Hadir sama sebahagian besar Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Najib berkata, pentadbiran beliau mengambil daya usaha memperkenalkan NKRA dan KPI bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.

Kerana itu, kata beliau, dalam NKRA keempat misalnya iaitu yang menekankan usaha meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, kerajaan bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010.

Ketika ini terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara dan daripadanya, lebih 11,000 disahkan statusnya serta telah mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Dalam NKRA pertama untuk mengurangkan kadar jenayah pula, kata Najib, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh.

‘‘Ini dibuat menerusi misalnya dengan mewujudkan tribunal khas bagi jenayah jalanan,” katanya.Dalam usaha menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana (NKRA keenam), Najib turut mengumumkan tambahan 35 set ‘‘4-car-train’' yang akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya menjelang akhir 2012.

‘‘Mengikut statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16 peratus daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Maknanya, kerajaan menyasarkan peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 2 peratus pada penghujung 2012,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebagai ketua kerajaan, beliau insaf bahawa yang akan menilai kepemimpinannya nanti akhirnya adalah rakyat.
Tegasnya, apa yang pasti, beliau dan rakan-rakan telah, sedang dan akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sehabis baik dan sedaya mampu.
‘‘Kata orang dulu-dulu, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan boleh mendapat sagunya.
‘‘Marilah bersama menghitung doa ke hadrat Allah Yang Maha Kuasa agar kita diberi kekuatan dan ketabahan untuk melunaskan rancangan mulia ini ‘1Harapan, 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’,” katanya.

Enam menteri kanan terajui NKRA
PUTRAJAYA 27 Julai - Enam menteri kanan dilantik menerajui enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) bagi mencapai matlamat indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) secara lebih berkesan lagi.
Mengumumkan demikian hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setiap minggu beliau akan berjumpa dengan setiap menteri berkenaan bagi menilai pencapaian KPI yang telah ditentukan.

Ini bermakna, kata Perdana Menteri, dalam setiap enam minggu beliau akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang dirancangkan.

''Bagi NKRA meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; NKRA mengurangi kadar jenayah, menterinya adalah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan NKRA memerangi rasuah, menterinya adalah Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz.
''NKRA meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula, menterinya adalah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, menterinya adalah Datuk Seri Shafie Apdal dan NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya adalah Datuk Seri Ong Tee Keat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Menteri Bersama Pegawai Kerajaan di sini.

Enam NKRA itu diumumkan sempena 100 hari beliau sebagai Perdana Menteri pada 11 Julai lalu dan hari ini beliau memperincikan keenam-enamnya.
Najib berkata, bagi membuktikan tahap kebersungguhan untuk menjayakan NKRA dan KPI berkenaan, tiga bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri.
Katanya, langkah yang pertama kali dilaksanakan itu adalah bagi merangka, memperinci dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit.

Beliau berkata, bagi anggota Jemaah Menteri yang tidak termasuk dalam NKRA, mereka dan kementerian masing-masing tidak terkecuali dari mempunyai KPI.
''Setiap menteri selain daripada enam menteri yang telah saya nyatakan tetap dipertanggungjawabkan mencapai KPI kementerian masing-masing.
''Saya sendiri juga akan memantau prestasi kementerian tersebut pada setiap enam bulan," katanya. .

0 comments: